Thursday, October 22, 2009

GAGASAN MEMAKMURKAN MASJID 24 JAM SETIAP HARI

GAGASAN MEMAKMURKAN MASJID 24 JAM SETIAP HARI
Oleh: Mohd Gunawan Che Ab Aziz

Umat ini pada hakikatnya ialah umat yang mulia. Kita telah dimuliakan oleh Allah sehingga kemuliaan dan ketinggian kita telah diceritakan kepada seluruh nabi-nabi yang datang sebelum kita (Al-Fath [48]: 29). Kemuliaan kita menjadi semakin sempurna disebabkan hubungan kita dengan Rasulullah s.a.w. dan usaha yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. (Al-Anbiya’ [21]: 107; Aali ‘Imran [3]: 110; Yusuf [12]: 108). Tidak ada nabi dan rasul yang datang sebelum Rasulullah s.a.w. yang tidak mengkhabarkan berita gembira tentang Rasulullah s.a.w. dan umat baginda kepada kaum mereka (Aali ‘Imran [3]: 81). Kita telah dinobatkan sebagai ‘Khaira Ummah’ (Umat Yang Terbaik) di kalangan umat-umat yang pernah muncul di atas muka bumi ini. Martabat ‘Khaira Ummah’ yang gelarannya dititahkan dan dimaktubkan sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla yang telah menciptakan sekalian manusia dan seluruh alam, merupakan suatu gelaran yang amat agung, seagung keagungan Sang Pemberi Anugerah itu sendiri.

Bagaimanapun, kemuliaan ini adalah kemuliaan bersyarat. Gelaran ini hanya akan kekal, apabila syarat yang melazimkannya itu kekal pada umat. Umat ini akan kekal mulia, selagi mana mereka memenuhi syarat-syarat yang berikut, iaitu: hakikat iman, usaha meningkatkan iman dan usaha meyebarkan iman. (Aali ‘Imran [3]: 110) Allah berfirman, “Sesungguhnya Al-‘Izzah (kemuliaan) itu hanyalah untuk Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.” (Al-Munafiquun [63]: 8). Firman Allah Taala lagi, “Janganlah kamu merasa hina dan janganlah kamu merasa dukacita, kamulah yang tetap tinggi (dan mulia) sekiranya kamu benar-benar beriman.” (Aali ‘Imran [3]: 139) Dalam firman-Nya yang lain dinyatakan, “Wahai orang-orang yang beriman! Berimanlah kamu…” (Al-Maidah [4]: 136) Di sini ada gesaan kepada orang-orang yang sudah punya iman, agar mempertingkat dan memperteguhkan lagi iman mereka. Allah berfirman, “Dan hendaklah ada sebahagian daripada kamu satu umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala yang makruf (baik) serta melarang daripada segala mungkar (salah, buruk dan keji). Dan mereka itulah (yakni orang-orang yang menjalankan usaha dakwah, amar makruf dan nahyi mungkar) orang-orang yang berjaya!” (Aali ‘Imran [3]: 104) Syaikh Muhammad Abu Zahrah di dalam bukunya Kitab Ad-Dakwah ilal-Islam, semasa memberikan komentarnya kepada ayat ini menyatakan, “Perkataan ( min ) yang bermaksud ‘daripada’ di dalam ayat ini boleh diertikan (secara nahunya) sebagai ( min bayaniah ) atau “( min ) penerangan”; jika demikian, ayat ini hendaklah difahamkan sebagai, “Dan hendaklah kamu semua – wahai keseluruhan kaum muslimin – menjadi satu umat yang semuanya berfungsi sebagai pendakwah kepada kebaikan, penyuruh dengan perkara makruf dan pencegah daripada perkara mungkar.” Intaha.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah pada kurunku, kemudian kurun yang sesudah mereka, kemudian kurun yang sesudah mereka...” (Riwayat Al-Bukhari, Muslim) Sebahagian ulamak memberikan pengertian kurun di sini dengan makna generasi, manakala sebahagiannya pula dengan makna yang zahir, iaitu tempoh masa satu abad. Daripada sabdaan suci ini, jelas bahawa tiga ratus tahun yang pertama atau tiga lapisan generasi yang pertama dalam sejarah kemunculan umat ini, ia adalah sebaik-baik zaman yang telah diberikan pujian terlebih awal oleh Sodiqul-Masduq (Seorang Yang Benar lagi Dibenarkan) iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri. Sekiranya kita benar-benar berusaha meneliti keadaan Zaman Yang Dipuji ini, sudah pasti kita semua bersetuju bahawa antara ciri zahir yang menjadi jati diri warga Zaman ini ialah masjid-masjid yang telah dimakmurkan dengan sebenar-benar pemakmuran. Masjid-masjid telah benar-benar berfungsi sepanjang 24 jam setiap hari sebagai gedung rahmat dan nur keimanan, medan pembinaan dan peningkatan iman serta markaz di mana tersebarnya iman.

Kenapa masjid? Masjid adalah suatu yang penting. Kepentingan masjid dapat dilihat seawal kemunculan manusia di atas muka bumi ini. Bukankah Allah mengatakan bahawa masjidlah (yakni Baitullahil-Haram) merupakan seawal-awal binaan yang dibangunkan untuk manusia beribadah kepada Allah? (Aali ‘Imran [3]: 96) Malah dalam sejarah umat ini, bukankah peristiwa Israk dan Mikraj menyatakan bahawa Israknya Rasulullah s.a.w. ialah daripada Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa, yakni daripada masjid ke masjid? (Al-Israk [17]: 1) Bukankah perkara pertama yang disegerakan Rasulullah s.a.w. semasa hijrah baginda seusai saja sampai di Madinah (Yathrib) ialah membina masjid di Quba’, yang mana diperakui oleh Allah sebagai ‘lamasjidun ussisa ‘alat-Taqwa’ (Masjid yang diasaskan atas Ketaqwaan)? (At-Taubah [9]: 108) Bukankah setibanya saja Rasulullah s.a.w dan Saiyidina Abu Bakar r.a. di Madinah, masjid yang terlebih dahulu dibina berbanding rumah Rasulullah s.a.w. sendiri?

Sehingga Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Sekiranya kamu melihat seseorang itu berulang-alik (membiasakan dirinya) ke masjid (yakni dengan memakmurkan), maka bersaksikanlah oleh kamu kepadanya dengan keimanannya,” lalu Rasulullah s.a.w. membacakan ayat yang berikut, “Hanyasanya orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah, ialah mereka yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.” (At-Taubah [9]: 18) (Riwayat At-Tirmizi). Riwayat ini merupakan himpunan dan gabungan Kalam Allah dan Kalam Rasul-Nya. Hadis ini mengandungi gesaan dan perintah Rasulullah s.a.w. yang suci, dan baginda teguhkan sabdaan baginda dengan firman Allah Rabbul-Alamin. Alangkah berbahagianya mereka, yang mana keimanannya telah dipersaksikan dan dibenarkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Tidak tersentuh dan tergerakkah hati kita untuk mendapatkan sama bahagian dalam persaksian dan pembenaran Rasulullah s.a.w. ini? Tidak gelisah dan merontakah hati kita atas saranan suci-murni ini?

Elok agama di dalam masjid, maka akan eloklah agama di luar masjid. Jika yang tinggal hanya solat lima waktu sahaja di dalam masjid, maka di luar masjid juga umat ini hanya akan faham dan menyangka bahawa solat itu sajalah sebagai agama. Akhirnya, sebahagian besar hidup manusia telah dipisah-pisahkan daripada agama. Apa itu agama? Agama ialah seluruh perintah Allah, sebagaimana cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Bagi setiap individu, lima juzuk hidup, iaitu: imaniah, ibadah, muasyarah, muamalah dan akhlak perlu diwarnakan dengan celupan agama, dengan Sibghatullah. (Al-Baqarah [2]: 138) Begitu juga pada tahap keluarga, masyarakat dan negara; malah pada peringkat Daulah / Khilafah Islamiyyah apabila tiba saatnya suatu masa nanti.

Masjid perlu dimakmurkan. Masjid tidak dimakmurkan dengan binaan yang kukuh dan perhiasan yang elok, walaupun untuk perkara sebeginipun ada ganjarannya seperti saranan membina masjid, menyalakan lampu dan memberikan haruman kepada masjid. (Sebagaimana hadith-hadith riwayat Ibnu Hibban, Abu Daud, At-Tabrani dan lain-lain) Bagaimanapun ditegaskan, ruh masjid bukan pada kehebatan binaannya dan banyaknya kemudahan di dalamnya, tetapi ruh masjid ini akan gemilang dan terbilang hanya apabila dimakmurkan dengan amalan-amalannya. Untuk itu tidak ada cara lain, kita semua kena mula memberi dan melapangkan masa untuk masjid. Masjid tidak akan benar-benar dapat dimakmurkan, jika kita hanya menunggu masa lapang untuk memakmurkan masjid. Sebagaimana kita sedia melapangkan masa kita untuk urusan lain, maka agenda memakmurkan masjid perlu menjadi keutamaan juga untuk kita melapangkan masa kita setiap hari. Hanya apabila kita semua sedia untuk membuat keputusan sebegini, barulah masjid mula dapat dimakmurkan dengan amalan-amalannya dengan sempurna dan meliputi 24 jam sehari semalam. Dan barulah, masjid-masjid akan menjadi kilang-kilang hidayah dan islah umat, menjadi klinik rawatan iman dan kehidupan, menjadi tempat umat mendapatkan keperluan-keperluan agama dan kerohanian mereka, dan akhirnya masjid-masjid akan menjadi saksi hidup atas keimanan dan kehangatan hakikat iman umat ini.

Umat tanpa mengira kedudukan, kebolehan, profesion dan taraf mereka, kesemuanya mampu untuk menjayakan gagasan memakmurkan masjid 24 jam setiap hari ini. Gagasan ini bukanlah bermakna, setiap diri kita perlu hanya berada di masjid 24 jam setiap hari sehingga meninggalkan kewajipan-kewajipan lainnya. Itu bukanlah apa yang diamalkan oleh para sahabat dan salaful-ummah, kecuali sebahagian kecil individu yang khusus di kalangan mereka. Umat perlu buat keputusan terlebih dahulu untuk sedia melapangkan masa di masjid-masjid mereka. Gagasan ini bukanlah suatu yang mustahil. Kedai runcit, stesen minyak, klinik, kilang, kedai makan dan sebagainya boleh dibuka dan beroperasi 24 jam setiap hari kerana manusia memberi kepentingan kepada perkara tersebut. Begitu juga masjid, jika kita juga mula memberi kepentingan kepada masjid dan amalan-amalan masjid, maka perkara ini juga akan dapat dicapai. “Dan orang-orang yang bermujahadah (berjuang, berjihad, berusaha dan bersungguh-sungguh) pada pihak Kami, maka pasti dan pasti dan pasti Kami (yakni pihak Allah Taala) akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami.” (Al-‘Ankabut [29]: 69) Kita berikan apa yang terbaik dalam kemampuan kita, Allah akan sempurnakan apa yang kita tidak mampu. Allah hanya mahu lihat kesungguhan kita, selebihnya bak kata Nabi Syu’aib a.s., “Sesungguhnya aku hanya menginginkan Islah setakatmana dayaku, dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan Allah, kepada-Nya aku bertawakal dan kepada-Nya aku kembalikan (urusan ini).” ( Hud [11]: 88)

Seluruh umat perlu dibawa kepada masjid dan amalan masjid. Seorang ulamak di dalam bidang hadis dan islah umat, serta pakar di dalam Sirah Nabawiyah dan Hayat Sahabah, Al-‘Allamah Al-Muhaddith As-Syaikh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi rah.a. menyatakan bahawa amalan-amalan masjid dapat dikategorikan kepada empat amalan, iaitu: Amalan Dakwah, Amalan Ta’lim dan Ta’lum (Belajar dan Mengajar), Amalan Ibadah dan Amalan Khidmat. Inilah empat amalan yang perlu untuk kita hidupkan 24 jam sehari semalam di setiap masjid dan surau kita. Inilah gagasan besar yang menjadi tuntutan ke atas umat pada hari ini. Tanpa menafikan kepentingan usaha dalam bidang-bidang yang lain; gagasan untuk kembali memakmurkan masjid-masjid umat dengan amalan-amalan masjid selama 24 jam dalam sehari merupakan usaha asas demi mengembalikan kemuliaan umat ini. Selagi umat ini atau sebahagian besar umat ini terasing daripada masjid, selagi itulah kita akan hanya menjadi ‘buih-buih dilaut’.

Agama bukanlah hanya satu kepercayaan dan ajaran yang bersifat hanya konsep dan falsafah untuk didiskusikan, diforumkan dan disembang-sembangkan. Malah ia menuntut bukti dan tindakan. Dan bukti praktikal yang paling asas yang telah dicontohkan oleh Salaful-ummah ialah apabila setiap individu umat ini bersedia untuk kembali ke dalam dakapan masjid. Ini adalah teras kepada kemuliaan umat. Masjid adalah sumber kemuliaan umat ini. Apabila umat mula kembali kepada masjid, barulah puluhan ayat Al-Quran dan ribuan hadis Rasulullah s.a.w. kembali dapat dilihat praktikalnya di alam nyata, dan tidak lagi hanya sekadar menjadi catatan suci yang hanya bersifat teori. Sebagai satu contoh, dalam satu hadis dinyatakan bahawa pada Yaumil-Mahsyar nanti, ada tujuh golongan yang akan berada di bawah naungan Arasy Allah, salah satunya ialah seorang lelaki yang hatinya senantiasa terpaut kepada masjid (Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan selain keduanya). Hampir kita semua maklum tentang hadis ini, tetapi dimanakah kita dapat lihat secara praktikalnya golongan ini? Oleh itu, apabila gagasan ini dapat dilancarkan dan disambut oleh umat, pasti apa yang dikhabarkan ini akan menjadi satu realiti di hadapan mata kita. Ini sekadar satu contoh.

Untuk membincangkan modus operandi bagaimanakah gagasan dan matlamat untuk memakmurkan masjid 24 jam setiap hari dapat dicapai, memerlukan ruang yang amat panjang. Bagaimanapun, gagasan ini boleh dimulakan melalui dua perkara. Pertama, apabila umat ini mula membuat keputusan, bersedia untuk melapangkan masa mereka sekurang-kurangnya 10 % daripada 24 jam mereka. Maknanya, setiap diri kita bersedia untuk melapangkan masa 2 ½ jam setiap hari khusus untuk memakmurkan masjid-masjid kita. Setiap orang mempunyai masa mereka sendiri yang sedia dan sesuai untuk dilapangkan. Jika setiap orang mula memberikan komitmen dan melapangkan 2 ½ jam setiap hari mengikut kemampuan dan masa pilihan mereka, akhirnya kita akan dapati, masjid-masjid telah mula dimakmurkan selama 24 jam dalam sehari. Kedua, kesemua yang telah menjadi ahli jamaah masjid, mengadakan mesyuarat ringkas setiap hari di mana agendanya ialah di sekitar memikirkan dan menyelaras bagaimanakah usaha perlu dibuat bagi menjadikan masjid dapat makmur dan beroperasi 24 jam setiap hari dengan empat amalan masjid tadi: dakwah, taklim, ibadah dan khidmat. Daripada mesyuarat harian ini, usaha akan digerakkan dan diselaraskan.

Gagasan ini begitu sederhana dan terbuka kepada semua individu umat ini. Satu-satunya pra-syarat yang perlu ialah kalimah ‘La ilaaha illallah’ yang ada di dalam hati sanubari kita. Kita bulatkan tekad dan mula membuat keputusan. Wara-warakan gagasan ini. Dengan izin Allah, segala keberkatan masjid sebagai gedung rahmat dan hidayah umat ini, akan terzahir dan dapat dirasai oleh umat ini sekali lagi. Untuk itu, siapakah yang bersedia untuk melapangkan masanya 2 ½ jam setiap hari untuk masjidnya?

Followers